Kelab Badminton (KB) Bandar Maharani mencatatkan kemenangan dalam perlawanan sulung Junior Purple League (JPL) 2017 di Sports Arena Puchong, hari ini.

Kelab itu yang baru dinaikkan pangkat ke Divisyen Satu selepas menjuarai Divisyen Dua JPL musim lalu, menang besar 14-3 mengatasi KB Serdang.

Dalam aksi perseorangan lelaki, Lim Chong King, memungut mata untuk Bandar Maharani selepas menewaskan wakil KB Serdang, Chang Chia Hao, 3-0 (11-8, 11-9, 11-6).

Selepas itu, dalam beregu perempuan, Luo Jin Wen-Wang Yu Qiao, terus menambah mata buat pasukan. Mereka menewaskan gandingan Lee Xin Jie-Lim Mei Chen 3-0 (11-8, 11-7, 11-9).

Dalam pertarungan beregu campuran, Go Pei Kee-Lee Yi Bo, bagaimanapun, gagal memberikan kemenangan buat pasukan KB Bandar Maharani. Mereka tewas kepada Ching Kai Feng-Teoh Lexuan 2-3 (11-5, 11-7, 3-11, 10-11, 6-11).

Apapun, KB Bandar Maharani kembali bangkit dalam kategori perseorangan perempuan menerusi Yu Chieh, yang meraih kemenangan 3-0 (11-8, 11-4, 11-8) ke atas pemain KB Serdang, Yang Yu Chi.

Anak legenda negara, Fazriq Razif Sidek, yang bergandingan dengan Ng Jia Jun dalam beregu lelaki berjaya melengkapkan kemenangan KB Bandar Maharani.

Mereka mengatasi Chea Cheng Xiang-Teh Zi Yi 3-0 (11-9, 11-9, 11-6) untuk membantu KB Bandar Maharani mengutip kemenangan pertama dalam JPL 2017.

Pengurus pasukan KB Bandar Maharani, Yap Kim Heng, mengakui anak buahnya beraksi dengan luar biasa dalam perlawanan pertama mereka.

“Saya sangat berpuas hati dengan kemenangan tadi. Tapi saya terkejut kerana mereka berjaya mencatatkan kemenangan besar, 14-3, untuk mengatasi pihak lawan walaupun baru beraksi dalam perlawanan pertama hari ini.

“Saya nampak kombinasi beregu dan perseorangan mempunyai kelebihan tersendiri, jadi saya akan cuba memperbaiki apa yang boleh untuk memantapkan lagi pasukan.

"Perjalanan JPL juga masih jauh, saya menyasarkan kedudukan lima terbaik untuk KB Bandar Maharani,” katanya selepas perlawanan.

Sementara dalam saingan Divisyen 2, KB Subang sedang mendominasi carta selepas melalui dua perlawanan setakat ini.

Pada sebelah pagi, mereka menang 15-2 mengatasi KB Bangsar Hawks sebelum mencatatkan satu lagi kemenangan pada sebelah petang dengan menewaskan KB Bukit Cheras 9-8.