Kelab Badminton (KB) Bangsar Hawks tetap berpegang kepada misi utama mereka untuk memberi pendedahan maksimum kepada pemain mudanya biarpun kini di ambang penyingkiran ke Divisyen Dua, Junior Purple League (JPL) musim depan.

Dengan status selaku pasukan dengan bajet yang agak terhad, KB Bangsar Hawks tidak mempunyai kewangan kukuh tetapi misi kelab ini untuk memberi pendedahan kepada pemain muda dari akademi adalah sesuatu yang harus dipuji.

Menurut Pengurus KB Bangsar Hawks, Abdul Hafidz Win, pasukan itu sememangnya tidak meletakkan apa-apa sasaran dalam saingan JPL 2016.

“Dari permulaan musim lagi, kami tidak mensasarkan kejuaraan. Kami menyertai JPL untuk memberi peluang kepada pemain-pemain muda kami untuk mendapatkan pengalaman kerana rata-rata pemain kami baru sahaja berusia 15 dan 16 tahun,”kata Abdul Hafidz.

Untuk rekod, pasukan ini telah menurunkan hampir keseluruhan pemain mudanya dalam setiap perlawanan JPL setakat ini.

“19 daripada 20 pemain saya telah beraksi dalam JPL musim ini. Tidak ada pasukan yang sanggup melakukan perkara seperti ini,” tambah Abdul Hafidz.

Menurutnya lagi, saingan JPL yang semakin sengit pada musim ini dengan ada pasukan yang melabur banyak untuk mengikat pemain tempatan dan import berkualiti.

“Bagi pasukan kami, kami lebih gemar memberi pendedahan kepada pemain tempatan kerana bagi kami, tiada gunanya mengimport pemain luar jika mereka tidak beraksi dengan baik dan tidak memberikan kemenangan,” ujarnya.

Abdul Hafidz juga berpendapat cara pasukannya memberikan pendedahan kepada pemain-pemain muda tempatan bukan sahaja memberikan manfaat kepada kelab badminton, malah membantu membentuk pemain-pemain muda yang bakal mewakili negara pada masa akan datang.

Dengan baki tiga lagi perlawanan dalam saingan JPL, KB Bangsar Hawks akan berdepan pendahulu liga ketika ini, KB Petaling, diikuti KB Muar dan KB Bandar Utama Dragons, sekali gus akan menentukan kedudukan mereka dalam saingan liga pada musim ini.

Pengurus itu tidak meletakkan harapan tinggi apabila pasukannya turun melayan smash daripada pasukan KB Petaling pada minggu hadapan.

“Ia tentunya satu perlawanan sukar menentang KB Petaling. Apa pun, kami akan cuba melakukan yang terbaik. Baki dua perlawanan selepas itu, saya berharap dapat mengutip lebih pungutan mata”.

KB Bangsar Hawks menghuni tangga tercorot liga Divisyen Satu JPL 2016 ketika ini tanpa sebarang kemenangan daripada enam perlawanan.

Kemungkinan besar mereka bakal tersingkir ke Divisyen Dua andai tidak mencatatkan sebarang kemenangan dalam pusingan terakhir nanti yang akan berlangsung pada 15 dan 16 Oktober ini di Challenger Sports Centre, Ampang.