Joo Ven, Zii Jia tidak terkejut keputusan BWF

Oleh Staff Writer 2 Mei 2018 10423
Joo Ven, Zii Jia tidak terkejut keputusan BWF
Dua pemain badminton perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven dan Lee Zii Jia, tidak terkejut dengan hukuman penggantungan yang dikenakan terhadap Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang sambil mengharapkan ia memberi pengajaran kepada semua pemain.

Tempoh 20 dan 15 tahun sememangnya lama untuk dua pemain profesional negara itu sehingga mungkin terpaksa melupakan karier mereka dalam arena badminton negara selepas ini.

Bagi Joo Ven dan Zii Jia, keputusan itu adalah tepat untuk membuktikan betapa BWF serius dalam kes seperti itu dan setiap pemain harus berwaspada dalam memastikan mereka bersih daripada gejala rasuah mengatur perlawanan.

Bagaimanapun, mereka tetap mengharapkan yang terbaik untuk Zulfadli dan Chun Seang pada masa akan datang memandangkan dua pemain itu juga pernah mengharumkan nama negara sebelum ini.

"Ia adil buat pemain digantung kerana jurulatih sering mengingatkan bahawa jangan sesekali berpaling tadah kepada negara. Saya masih berharap yang terbaik buat mereka di masa akan datang," kata Joo Ven

"Ia menjadi satu pengajaran dan amaran kepada semua pemain badminton. Jangan sesekali melibatkan diri dalam isu sebegini dan diharapkan ia tidak akan berlaku lagi," tambah Zii Jia.

Sementara itu, bekas pemain badminton kebangsaan, Datuk James Selvaraj, mendesak BWF mengenakan penggantungan seumur hidup sementara Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan menubuhkan badan khas untuk menangani isu mengatur perlawanan.

"Setiap kejohanan memiliki hadiah wang kemenangan, jadi jika BWF berasa penggantungan seumur hidup wajar, lakukan saja. Apabila memberi penggantungan selama 20 atau 15 tahun, anda rasa mereka akan kembali?

"Mungkin mereka akan sertai badan kejurulatihan tetapi persatuan akan sedar akan latar belakang pemain-pemain ini dan tentu tidak mahu mengambil mereka," ujar James.

"Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk meneliti perkara sebegini, mungkin hanya masa untuk menentukan hukuman bagi perkara seperti ini.

"Ia bukan sekadar isu doping tetapi gejala mengatur perlawanan juga sangat penting," tambah Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen