Pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven, perlu lebih fokus dalam Sukan SEA Filipina bermula hujung bulan ini seandainya mahu mengekalkan tempatnya dalam skuad kebangsaan.

Ia susulan penilaian prestasi keseluruhan pemain yang akan dijalankan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hujung tahun ini.

Pemain ranking ketiga negara itu mengakui gagal memaparkan aksi terbaiknya dalam Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia di Kangar, Perlis minggu lalu -- disingkirkan oleh wakil China, Lei Lan Xi, dalam pusingan kedua.

Justeru, pemain berusia 24 tahun itu enggan terlalu yakin dengan statusnya sebagai pemain perseorangan kedua terbaik dalam skuad kebangsaan.

"Tiada apa-apa yang pasti tetapi saya akan melakukan yang terbaik dalam semua kejohanan.

"Kalau diikutkan ranking, (Lee) Zii Jia nombor satu dan saya yang kedua (dalam BAM).

"Tidak kira sama ada saya berada dalam BAM atau tidak, saya masih akan mewakili dan menyarung jersi Malaysia," katanya.

Pemain yang berada di ranking ke-46 dunia itu akan menggalas cabaran dalam acara individu dan berpasukan di Manila dan bertekad untuk memanfaatkan waktu yang ada untuk meningkatkan fokusnya sebelum menghadapi temasya berkenaan.

"Saya banyak melakukan kesalahan sewaktu di Perlis dan berharap dapat lebih fokus dalam perlawanan berikutnya," tambahnya.