Pemain kebangsaan, Soong Joo Ven, meraih kemenangan sulung acara perseorangan lelaki manakala Soniia Cheah mempertahankan gelaran acara perseorangan wanita dalam Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 di Arena Badminton Perak, hari ini.

Joo Ven, yang merupakan pemain pilihan ketiga, menang mudah dalam final selepas lawannya, Leong Jun Hao, menarik diri akibat kecederaan ketika set kedua sewaktu perlawanan berkedudukan 21-13, 7-1.

"Saya sangat gembira dapat menjuarai kejohanan ini tapi saya tidak boleh berpuas hati dengan kemenangan ini dan akan teruskan usaha untuk menjuarai pertandingan di peringkat antarabangsa pula," kata Joo Ven kepada selepas aksi tersebut.

Sementara itu, Jun Hao berkata keputusannya menarik diri diambil selepas mengalami kesakitan di bahagian kaki sejak perlawanan menentang Lim Chong King di peringkat separuh akhir semalam.

"Pada kedudukan 1-7 saya rasa kaki saya sudah tidak boleh bergerak, jadi saya ambil keputusan untuk menarik diri sebab saya takut akan bertambah sakit sehingga perlu masa yang lama untuk sembuh," katanya.

Dalam acara perseorangan wanita, Soniia gah mempertahankan gelaran selepas mengalahkan pemain pilihan utama, Goh Jin Wei, 21-10, 21-14 dan menyifatkan ia bukti kepada keupayaannya.

"Bagaimanapun, menjadi pemain nombor satu negara tidak begitu penting buat saya, sebaliknya kami (dia dan Jin Wei) harus bersama-sama berusaha sebagai satu pasukan," ujar Soniia.

Selain itu, pasangan beregu camouran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, menepati ramalan apabila menundukkan Hoo Pang Ron-Shevon Lai Jemie 17-21, 21-13, 21-19 dalam aksi penuh debaran sepanjang 57 minit perlawanan.

Peng Soon berkata kemenangan itu sesuatu yang berharga kerana kali terakhir mereka memenangi kejohanan berkenaan adalah lapan tahun lalu.

"Maksudnya, walaupun sudah lapan tahun, kami masih boleh main lagi," kata Peng Soon.

Bagi acara beregu lelaki, gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menewaskan Aaron Chia Teng Fong-Soh Wooi Yik 21-12, 21-19, manakala acara beregu wanita dimenangi Anna Cheong Ching Yik-Lim Chiew Sien yang menewaskan Cheah Yee See-Teoh Mei Xing 23-21, 21-17.