Perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terhadap masa depan kerjayanya tetapi menegaskan akan berjuang mengekalkan status sebagai pemain kebangsaan.

Selain Datuk Lee Chong Wei, berdasarkan prestasi semasa dan kriteria Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hanya tiga pemain -- Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin -- berada dalam perancangan jangka masa panjang badan induk itu.

Sementara itu, pemain seperti Joo Ven berada dalam kategori yang perlu membuktikan dia berhak kekal di bawah program BAM menjelang penilaian Ogos ini.

"Perkara yang berlaku sebelum ini memaksa BAM untuk melakukan keputusan drastik dan saya berharap untuk melakukan yang terbaik untuk kekal dalam skuad negara," kata Joo Ven.

Joo Ven mempunyai peluang cerah untuk terus berada dalam perancangan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek. Ini susulan dia dicanang sebagai antara pemain yang berupaya mewakili Malaysia dalam Sukan Asia Indonesia 2018.

"Jurulatih sedia memberitahu kami untuk bersedia menghadapi sebarang kejohanan dan saya sentiasa bekerja keras dalam sesi latihan," tambahnya.