Nama John Burgess mungkin sudah sinonim dengan dunia sukan, apatah lagi dia adalah individu yang bertanggungjawab menyajikan penonton dengan ulasan terbaik dalam kejohanan badminton yang ditonton di kaca televisyen.

Bagaimanapun, hampir pasti ramai yang tidak mengenali individu itu meskipun suaranya sering ke udara.

Meskipun bukan seorang atlet, namun dia memiliki pengetahuan luas tentang dunia sukan antarabangsa kerana tugasnya sebagai seorang pengulas.

"Saya sangat bertuah pada usia muda kerana saya terlibat dengan sukan selaku guru sekolah buat beberapa tahun. Saya datang ke Singapura pada tahun 1972 dan ketika itu, minat saya terarah kepada sukan ragbi.

"Bagaimanapun, pada masa sama, saya juga berminat dengan sukan badminton. Malah, pertama kali saya berjumpa dengan pemain badminton berbangsa Melayu adalah ketika saya sedang belajar di sebuah universiti di Exeter.

"Selepas itu cinta saya terhadap sukan badminton, terutama di Asia Tenggara, mula berputik dan kini saya sangat bertuah kerana berpeluang menjadi pengulas selama 35 tahun ini. Cukup hebat," katanya ketika ditemu bual Nadi Arena.

Bekas guru bahasa Inggeris berusia 71 tahun ini juga mempunyai kenangan manis ketika membuat liputan mengenai atlet negara.

Antaranya, menjadi pengulas ketika pertembungan epik di antara Datuk Lee Chong Wei dan seteru dari China, Lin Dan, dalam separuh akhir badminton Sukan Olimpik Rio 2016.

"Ketika Chong Wei memenangi perlawanan separuh akhir itu, ia cukup mengujakan. Saya sangat gembira dengan kejayaannya, perlawanan itu seharusnya menjadi pertemuan final," tambahnya.

Suara John kini lebih banyak didengari mengulas aksi badminton.

Meskipun sedang meniti usia, dia masih lagi menggagahkan kudrat merantau ke setiap benua untuk membawakan suara emasnya kepada peminat sukan badminton di seluruh dunia.

"Tiada rahsia apa-apa, cuma apa yang tahu saya sangat suka dengan apa yang saya lakukan.

"Sebagai seorang pengulas, saya amat menghormati semua atlet yang berhempas-pulas hampir setiap hari untuk memberikan aksi terbaik."