Skuad badminton negara kini kehilangan pengaruh tonggak senior apabila pemain beregu wanita, Tee Jing Yi, keluar daripada program kebangsaan.

Perkembangan itu disahkan ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, sekali gus perlu melakukan perincian semula terhadap skuad yang ada.

Jing Yi yang bergandingan dengan Soong Fie Choo lebih dikenali sebagai pemain perseorangan, sebelum beralih arah ke acara beregu hampir dua tahun lalu.

Sebelum kebangkitan bakat dipamerkan oleh pemain muda seperti Soniia Cheah dan Goh Jin Wei, Jing Yi mendukung misi skuad perseorangan wanita, termasuk layak ke dua edisi Sukan Olimpik di London 2012 dan Rio 2016.

"Jing Yii sudah menghantar surat pada minggu lepas, mengatakan mahu berhenti. Saya dan BAM sudah menerima surat itu.

"Saya rasa ia akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) untuk menerimanya atau tidak," ujar Rosman.