Pemain beregu wanita negara, Tee Jing Yi, kian serasi bersama gandingannya, Joyce Choong, selepas bergelar naib juara dalam Cabaran Antarabangsa Vietnam, tempoh hari, dan kini dalam misi memburu pencapaian positif dalam Terbuka Malaysia, April depan.

Kejohanan di Vietnam minggu lalu adalah yang pertama buat Jing Yi selepas beralih ke acara beregu sejak Januari lalu.

Bagi Jing Yi, prestasinya semakin membuahkan hasil, meskipun hanya beberapa kali sahaja menjalani sesi latihan bersama pasangannya, Joyce, sebelum beraksi di Vietnam.

Justeru, dia bersikap positif bahawa laluannya untuk memburu kejayaan seterusnya dalam Terbuka Malaysia, tidak mustahil.

"Setakat ini, gandingan saya dan Joyce berjalan lancar. Kami sering berbincang di luar dan dalam gelanggang.

"Proses ini sangat bagus," katanya.

Jing Yi juga belum meletakkan apa-apa sasaran tertentu buat dirinya tahun, ini kerana berkemungkinan besar gandingannya akan ditukar kepada Soong Fie Choo.

Fie Choo kini masih dalam proses pemulihan sepenuhnya, berikutan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dialaminya tahun lalu.

"Saya dengan Joyce hanya akan digandingkan dalam dua kejohanan sahaja, iaitu Terbuka vietnam dan Malaysia.

"Oleh itu, saya hanya memberi fokus untuk menampilkan aksi terbaik.

"Lagipun, pasangan beregu saya pun tak pasti lagi dan kalau dah ada nanti, barulah kami boleh meletakkan sasaran."