Jing Hong, Fazriq jadi pertaruhan Yoke Meng

Oleh Staff Writer 16 Julai 2019 1164
Jing Hong, Fazriq jadi pertaruhan Yoke Meng
Jurulatih skuad badminton remaja, Kwan Yoke Meng, meletakkan sandaran kepada Kok Jing Hong dan Muhammad Fazriq Mohd Razif dalam acara perseorangan bagi Kejohanan Remaja Asia 2019 selepas laluan getir menanti Malaysia dalam kategori berpasukan campuran.

Jing Hong menjadi harapan negara berdasarkan rekodnya yang pernah menjuarai saingan Grand Prix Remaja Pembangunan Jaya Raya 2018 di Indonesia dalam acara perseorangan lelaki B-17.

Yoke Meng menganggap Fazriq, yang diundi menentang pemain dari Iran, Alireza Karami, sebagai laluan mudah buatnya, apatah lagi pemain berusia 15 tahun itu telah membuktikan prestasi yang semakin cemerlang ketika ini.

"Jing Hong pernah meraih kedudukan dua terbaik dalam saingan di Indonesia, jadi saya meletakkan harapan tertinggi ke atasnya bagi acara perseorangan. Fazriq juga menerima undian yang baik, jadi ia peluang bagus untuknya untuk meraih pengalaman," katanya.

Jurulatih itu juga mengakui Malaysia berdepan laluan sukar dalam acara berpasukan campuran apabila diundi dalam Kumpulan A bersama naib juara dua edisi terakhir, Indonesia, dan Jepun. 

Baginya, Malaysia sekurang-kurangnya perlu menang ke atas Jepun untuk mencapai sasaran ke peringkat suku akhir dalam kejohanan yang akan berlangsung di Suzhou, China bermula Sabtu ini.

"Kami perlu menang  ke atas Jepun atau kami sukar layak ke suku akhir. Indonesia agak ampuh kerana daripada perseorangan sehingga beregu, mereka lebih baik berbanding Malaysia," katanya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen