Jin Wei tumpu pemulihan 

Oleh Bernama 20 November 2019 394
Jin Wei tumpu pemulihan 
Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, kini menjalani latihan ringan tetapi tidak tergesa-gesa untuk kembali bersaing.

Pemain berusia 19 tahun itu tidak bimbang mengenai penurunan ranking dunianya kerana yang lebih penting baginya ialah untuk memastikan proses pemulihan yang betul.

"Saya tidak peduli dengan ranking (pada masa ini). Saya tahu ia akan jatuh banyak kerana saya memutuskan untuk menjalani pembedahan. Saya harap dapat pulih pada masanya.

"Sekiranya saya menyertai kejohanan, saya akan memastikan saya 100 peratus sihat. Sekarang saya tidak pasti sama ada saya boleh bermain tapi nama saya ada dalam semua senarai (kejohanan)," katanya ketika ditemui selepas sidang media Kejohanan Masters Malaysia 2020 di Kuala Lumpur, hari ini.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang kini menduduki ranking ke-41 sudah memulakan latihan ringan sejak minggu lalu selepas mendapat kebenaran doktor.

"Saya rasa lebih baik selepas pembedahan dan rasa seperti orang biasa. (Ia akan) ambil masa (selama) beberapa minggu juga untuk saya kembali menjalani latihan biasa," tambahnya.

Juara remaja dunia dua kali itu mengalami penyakit perut sejak Januari dan bulan lalu, namun dia berjaya menjalani pembedahan ‘colectomy’, prosedur untuk mengeluarkan sebahagian daripada kolon dalam usaha untuk menyelamatkan kerjayanya.

Juara bertahan Sukan SEA itu telah digugurkan daripada skuad Sukan SEA Filipina, hujung bulan ini dan juga tidak akan meneruskan usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik pertamanya di Tokyo selepas tidak menyertai beberapa kejohanan.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen