Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, lebih tenang dalam menghadapi Piala Uber kali ini di sebalik prestasi kurang menentu yang dipamerkannya sepanjang 2018.

Ini merupakan kempen Piala Uber kedua buat Jin Wei selepas pembabitannya di Kunshan, China dua tahun lalu.

Ternyata pengalaman yang diraih ketika itu banyak membantu pemain di ranking ke-31 dunia ini untuk membantu skuad Uber negara kali ini.

Malah, dia sendiri mempunyai misi tersendiri selepas tidak dapat mempamerkan rentak sebenarnya tahun ini.

Antara kehampaan yang menimpa Jin Wei sudah pasti gagal tersenarai ke Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu di samping kecundang seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) kepada pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan.

"Saya banyak belajar sejak dua tahun lalu. Ia sangat menarik kerana begitu berbeza jika dibandingkan dengan acara individu.

"Melihat daripada perlawanan juga boleh dipertingkatkan dan diharap saya dapat menyumbangkan mata," kata Jin Wei.

Saingan di Bangkok menyaksikan Jin Wei diletakkan sebagai perseorangan kedua di belakang Soniia Cheah.

Selain dia dan Soniia, cabaran Malaysia dalam bahagian perseorangan turut disandarkan kepada Lee Ying Ying dan S. Kisona.

Jelas Jin Wei, dia tetap sedia berjuang bagi mendapatkan mata untuk skuad negara tanpa mengira di mana kedudukannya dalam pasukan.

"Saya rasa setiap perlawanan akan ada tekanan tersendiri. Jadi, tiada sebarang alasan," ujarnya.