Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, memberikan dirinya tempoh dua tahun untuk memastikannya berada dalam kelompok 10 pemain wanita terbaik dunia serta memenangi kejuaraan utama.

Kini sudah tiga tahun berlalu sejak Jin Wei dinobatkan juara remaja juara dunia, namun dia tampak bergelut untuk menempatkan diri dalam kelompok elit di pentas senior.

Beberapa siri kecederaan serta prestasi kurang konsisten menyaksikan Jin Wei belum dapat merealisasikan potensi sebenarnya.

Kekalahan dalam pusingan kedua Kejohanan Seluruh England di Birmingham malam tadi menyedarkan Jin Wei tentang jurangnya dengan barisan terbaik dunia.

"Saya beri masa kepada diri sendiri untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 pemain terbaik dalam tempoh dua tahun lagi, iaitu sehingga Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

Sekalipun tidak memiliki ketinggian, ia tidak boleh dianggap sebagai kelemahan berikutan beberapa pemain wanita Jepun sudah membuktikan sebaliknya.

Lantaran itu, Jin Wei mengakui banyak yang boleh dipelajari daripada barisan pemain perseorangan Jepun.

"Kesungguhan pemain-pemain elit sangat bagus, kekuatan mental boleh diasah, semuanya berbalik kepada pemain sendiri.

"Selain itu, faktor kemahiran juga sangat penting," katanya.