Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri dalam Kejohanan Terbuka Malaysia, 26 Jun ini, sekali gus memadam badi tersingkir awal di tanah air.

Lawan Jin Wei dalam pusingan pertama nanti adalah pemain di ranking ke-23 dunia, Pai Yu Po dari Taiwan.

Sungguhpun Jin Wei mempunyai kelebihan psikologi, menang dalam dua pertemuan mereka sebelum ini dengan kali terakhir dalam Masters Malaysia, Januari lalu, ia bukan tiket untuk dia mendabik dada.

"Saya fikir saya mendapat undian yang baik. Tiada lawan yang mudah dalam kejohanan ini. Semuanya pemain terbaik. Saya rasa sangat positif," ujarnya.

Apatah lagi dia bertekad untuk memperbaiki prestasinya tahun ini selepas perjalanannya berkubur dalam pusingan kedua Terbuka Malaysia tahun lalu.

Lebih perit untuk Jin Wei, sejak Masters Malaysia pada Januari lalu, dia masih belum pernah melepasi peringkat suku akhir dalam enam kejohanan yang disertainya.

"Saya mahu memenangi pusingan pertama dahulu dan pergi sejauh yang mungkin. Saya rasa ia bagus untuk menyelesaikan apa yang kurang dan boleh berlatih dengan berkualiti," katanya lagi.