Goh Jin Wei hanya selangkah untuk dimahkotakan sebagai pemenang pingat emas badminton perseorangan wanita dalam Sukan Olimpik Remaja 2018 Buenos Aires tetapi perlu segera mengatasi satu belenggu jika mahu mengelak berputih mata.

Separuh akhir mempertemukan Jin Wei dengan perseorangan Thailand, Phittayaporn Chaiwan, yang terlebih dahulu merampas set pertama 21-19.

Belenggu Jin Wei seperti dikenal pasti ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, adalah tekanan beraksi sebagi pilihan.

Mujur ia berjaya diserap Jin Wei apabila menggunakan pengalaman beraksi di pentas senior dunia untuk unggul dua set berikutnya 21-15, 21-13.

Final bakal menyaksikan dia mencongak perhitungan dengan sandaran masa depan China, Wang Zhiyi.

"Jin Wei memiliki peluang untuk meraih emas. Tetapi kami perlu melihat bagaimana Jin Wei menangani tekanan sebagai pilihan," kata Seu Bock.

"Saya juga enggan memberikan tekanan kerana lebih membenarkan Jin Wei selesa beraksi di gelanggang."