Jin Wei gusar kehilangan rakan sepasukan

Oleh Staff Writer 8 Disember 2018 666
Jin Wei gusar kehilangan rakan sepasukan
Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, gusar dengan risiko kelangsungan skuad perseorangan wanita negara sambil menegaskan kepentingan untuk pemain-pemain lain kekal dalam pasukan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini menerima pengunduran Lee Zii Yii daripada program kebangsaan.

Ia bermakna hanya tujuh perseorangan wanita senior berada di bawah kendalian ketua jurulatih, Datuk Tey Seu Bock.

BAM dijangka akan terus menggugurkan pemain yang tidak menyumbang kepada skuad negara.

"Hanya tinggal tujuh perseorangan wanita dalam skuad negara.

"Namun, ia merupakan keputusan pihak pengurusan dan di luar kawalan saya.

"Saya berharap rakan sepasukan dikekalkan untuk bersama-sama membawa cabaran negara," katanya

Dalam pada itu, Jin Wei mengambil keputusan untuk tidak berehat meskipun melalui musim padat sepanjang tahun ini.

Ia bagi melakukan persiapan menghadapi tiga kejohanan utama Januari ini.

"Saya memilih untuk tidak berehat memandangkan tahun depan merupakan tahun penting buat saya.

"Saya akan menyertai tiga kejohanan utama di Malaysia dan Indonesia, Januari ini," tambahnya.

Kejayaan memenangi Kejohanan Remaja Dunia dan pingat emas Sukan Olimpik Remaja Argentina 2018 menyaksikan Jin Wei terus mendapat tajaan sebagai duta syarikat minuman 100Plus untuk tempoh dua tahun akan datang.

Ia bagi memacu misi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen