Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, bersedia menjadi musuh dalam gelanggang kepada Malaysia di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila beliau bakal menggalas tugas baru bersama skuad badminton Jepun bermula tahun hadapan.

Jeremy akan ke Tokyo pada Januari depan sebagai jurulatih beregu campuran dengan misi utamanya adalah membantu mereka melayakkan diri ke Olimpik 2020.

Beliau, yang pernah membantu beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio 2016, dilihat bakal menjadi ancaman baru kepada Malaysia apabila diberi kepercayaan untuk melahirkan pemain berkualiti bagi skuad badminton Jepun.

Tidak harus dilupa Jeremy, yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih acara beregu campuran sejak 2009, menjadikan pengalamannya begitu berharga di Jepun nanti.

“Saya pergi ke sana untuk menaikkan beregu campuran di Jepun kerana bahagian itu belum ada di sana. Sasarannya memang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020,” katanya.

Namun, beliau tidak menolak jodohnya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan kembali bertaut jika diberi peluang pada masa akan datang.

Tugas Jeremy bersama BAM berakhir sepenuhnya esok.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka (pasukan Malaysia), saya juga banyak bekerjasama dengan jurulatih-jurulatih di sini, selamat berjaya juga kepada mereka. Saya harap kami boleh bekerjasama lagi. Saya juga harap mereka lebih bagus,” katanya.