Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, mahu menyaksikan anak buahnya mampu beraksi baik untuk menawan Kejohanan Badminton Seluruh England di Barclaycard Arena, Birmingham, 7-12 Mac ini.

Bukan sahaja Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, malah Jeremy berharap gandingan kedua negara, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin, turut mempamerkan persembahan bermutu dalam kejohanan itu.

Hakikatnya, tidak ada sasaran lain buat Wee Kiong dan V Shem kecuali menjuarai kejohanan itu berdasarkan reputasi mereka sebagai beregu nombor satu dunia ketika ini.

Bagaimanapun, kecederaan ringan menghalang Wee Kiong dan V Shem daripada membuat sebarang penampilan dalam kejohanan kompetetif setakat ini pada musim 2017.

"Setiap beregu mempunyai strategi berlainan. Sebelum perlawanan, mereka akan merancang strategi untuk menentang lawan masing-masing. Yang penting persiapan dan kemahuan mereka berada di tahap terbaik," kata Jeremy.

Jeremy juga mempunyai harapan besar buat Ee Yi dan Yew Sin yang akan memulakan kempen dalam kejohanan itu dengan menentang gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han.

Sekelompok dalam undian mereka adalah dua gandingan Denmark termasuk pilihan kedua dan pasangan veteran, Mathias Boe-Carsten Mogensen.

"Pergi memang untuk kemenangan bukannya mahukan pendedahan," tambah Jeremy. "Inilah masanya untuk mereka sebagai beregu kedua mempamerkan aksi terbaik."

"Dalam kejohanan berpasukan, beregu kedua juga sangat penting. Maka saya rasa kami mahu melakukan sesuatu dalam Seluruh England dengan sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir atau suku akhir."