"Malaysia akan berdepan masalah seandainya terus bergantung harap kepada seorang pemain sementara beregu lelaki menjadi kegusaran utama Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM)."

Itu pandangan Setiausaha Agung dan Pengerusi C&T yang bakal memulakan tugas September depan, Datuk Kenny Goh.

Beliau mengambil kesempatan memantau prestasi skuad negara dalam Kejohanan Terbuka Indonesia minggu lalu.

Perseorangan negara, Lee Zii Jia, layak ke suku akhir selepas menewaskan bekas juara dunia dan Olimpik, Chen Long, sebelum terkulai di tangan Anders Antonsen.

Untuk memastikan pemain muda itu tidak tenggelam di bawah tekanan, Kenny akur penstrukturan semula skuad sebelum ini perlu dimanfaat sebaik mungkin.

"Kita sentiasa bertumpu kepada seorang pemain sahaja sehingga bebanan diterima oleh pemain. Saya rasa satu strategi perlu diubah demi melahirkan lebih ramai pemain.

"Baru-baru ini struktur pemain perseorangan diubah, saya rasa tiada salah daripada langkah itu. Mungkin ada perkara yang perlu disemak sahaja," katanya

Sementara itu, Kenny mendedahkan rasa bimbang terhadap prestasi tidak menentu beregu lelaki yang membabitkan pasangan nombor satu kebangsaan, Aaron Chia-Soh Woi Yik, serta pasangan senior, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, yang tersingkir dalam pusingan pertama Terbuka Indonesia.

"Saya pun tidak faham mengapa mereka asyik membuat kesilapan yang sama. Jadi, bagi saya, mungkin ia perlu difahami. Mungkin mereka perlukan dorongan daripada aspek yang lain tetapi saya pasti ia perkara yang perlu diambil berat."