Skuad beregu wanita negara tetap berpeluang cerah untuk mengesahkan tiket ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia lebih awal dengan mencatat kemenangan ke atas Filipina di sebalik dilanda masalah kecederaan.

Di atas kertas, Malaysia memiliki kualiti yang lebih baik berbanding Filipina tetapi agak berisiko untuk merendahkan kemampuan lawan.

Ketua jurulatih beregu wanita, Wong Pei Tty, sedang mencongak nama pemain yang tepat untuk digandingkan dengan Vivian Hoo selepas Woon Khe Wei mengalami kecederaan lutut kanan dan dijangka direhatkan.

Tee Jing Yi, yang merupakan penambahan saat-saat akhir susulan kecederaan Lee Meng Yean, disebut-sebut sebagai pemain yang mampu mencetuskan impak di atas gelanggang.

“Saya rasa jika Khe Wei direhatkan, sudah tentu khidmat Jing Yi akan ditagih dan sebelum ini juga kami sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan,” kata Pei Tty.

Barisan perseorangan yang diketuai Soniia Cheah dan Goh Jin Wei dilihat tidak ada masalah untuk memperoleh mata buat skuad negara dan sudah tentu menjadi sandaran utama Malaysia sebelum turun berdepan ujian sebenar menentang Thailand esok.

“Segalanya terserah kepada jurulatih. Siapa sahaja pilihan jurulatih, kami akan turun memberikan aksi terbaik.

“Saya rasa setiap pemain akan membuktikan kemampuan masing-masing dan apa yang penting, kami dapat melakukannya,” ujar Jin Wei.