Institut Sukan Negara (ISN) dan rakan sepasukan dalam skuad perseorangan lelaki sedia berganding bahu untuk memberi motivasi dan sokongan moral kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin bagi membantunya berhenti daripada ketagihan merokok.

Iskandar didapati melanggar kesalahan itu ketika kempen Malaysia dalam Piala Thomas di Bangkok, Thailand, Mei lalu.

Namun, di sebalik fokus kepada kesalahan yang dilakukan Iskandar, tumpuan utama adalah kaedah yang perlu dilaksanakan oleh ISN bagi membantu pemain itu menghilangkan ketagihan terhadap rokok.

Ia dilihat penting agar dapat meningkat kembali tahap stamina Iskandar, sekali gus membantunya beraksi lebih baik.

"Mengapa ia terjadi mungkin kerana kurang pendidikan atau itu hanya pilihan. Ini masanya untuk mendapatkan maklum balas melibatkan kecergasan bagi melihat sama ada tahap kecergasaannya cukup baik atau perlu dipertingkatkan lagi.

"Saya tidak boleh memantau pemain 24 jam sehari. Ia mustahil. Mereka perlu tahu apa yang mereka perlu lakukan dan ia bergantung kepada pemain itu sendiri untuk memberi penekanan," kata Pegawai Fisiologi ISN, Dr. Tim Jones.

Selain itu, Iskandar juga mendapat sokongan moral daripada rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan yang akan sedaya-upaya membantunya mengatasi masalah itu.

"Saya terkejut selepas mengetahuinya menerusi surat khabar tetapi pada masa yang sama saya akan cuba melakukan yang terbaik untuknya.

"Saya harap dia melihat ke depan dan membuat kemunculan semula dengan baik," kata pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven.