Iskandar Zulkarnain Zainuddin terpaksa mengharungi penantian panjang untuk aksi pertamanya bagi musim 2018 ketika senario ini juga akan menguji kecergasannya jika dipilih membarisi skuad negara bagi Kejohanan Berpasukan Asia, bulan depan.

Saingan Terbuka India pada hujung bulan ini menjadi ujian pertama bagi Iskandar tahun ini.

Jika mampu melangkah jauh, Iskandar akan berada di New Delhi sekurang-kurangnya hingga 4 Februari.

Ini bermakna hanya ada waktu singkat untuknya mengalihkan tumpuan kepada saingan kelayakan Piala Thomas yang dijadualkan bermula pada 6 Februari di Alor Setar, Kedah.

"Tahun 2017 banyak menggugat prestasi saya dengan masalah kecederaan yang berpanjangan. Setakat ini, prestasi saya semakin meningkat dan saingan di India akan menguji diri saya dan berharap mara ke suku akhir," katanya.

Bagaimanapun, Iskandar menyifatkan dirinya sudah biasa menghadapi saat perit yang telah ditempuhinya pada tahun 2017.

Lantaran itu, dia enggan melepaskan sebarang peluang, terutama mewakili negara sebagai perseorangan kedua atau ketiga dalam saingan di Alor Setar itu nanti.

"Saya mahu berada dalam kelompok 20 terbaik dunia. Saya mahu menggunakan setiap peluang untuk beraksi dengan baik bagi tahun 2018."