Pemain badminton perseorangan profesional negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, terpaksa melupakan pemburuan gelaran kebangsaannya yang ketiga demi perebutan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Iskandar menjelaskan kesukarannya untuk tidak membuat penampilan dalam Kejohanan Kebangsaan di Ipoh, Perak dari 18 hingga 23 Februari ini.

Dia, yang kini berada di ranking ke-81 dunia, perlu segera menempatkan diri dalam kelompok 30 pemain terbaik dunia sebelum kelayakan ke temasya itu bermula April depan.

Iskandar akan beraksi dalam Masters Barcelona di Sepanyol yang berlangsung serentak dengan Kejohanan Kebangsaan sebelum beraksi di peringkat kelayakan Terbuka Jerman tidak lama selepas itu.

"Saya tidak menyertai banyak kejohanan musim lalu.

"Untuk menyelamatkan kedudukan ranking dunia, saya perlu menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

"Apabila mendapat perkhabaran bahawa Kejohanan Kebangsaan akan berlangsung serentak dengan Masters Barcelona, saya memilih untuk mengorbankan kejohanan itu," katanya.

Dengan pengundurannya, Iskandar mencanangkan finalis yang ditewaskannya tahun lalu, Lee Zii Jia, akan menjuarai Kejohanan Kebangsaan kali ini.

Berdasarkan ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia kini adalah perseorangan lelaki nombor satu negara.

"Saya mengucapkan tahniah kepadanya kerana bukan senang untuk memperoleh kedudukan seperti itu.

"Saya berharap dia akan terus berusaha dan memberikan komitmen dalam sukan badminton," tambahnya.