Perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri demi mengembalikan prestasi sebenar dalam gelanggang.

Selepas merekodkan pencapaian terbaik sebagai pemain senior pada musim 2016 dengan layak ke separuh akhir Siri Super Premier Terbuka China, karier Iskandar berdepan ujian getir.

Sepanjang 2017, dia terpaksa menangani proses pemulihan kecederaan belakang yang berpanjangan.

Lantas, Iskandar terpaksa menjalani latihan dalam suasana kemeriahan Aidilfitri bagi memastikan prestasinya kembali menjelang GP Emas Terbuka Taiwan.

"Saya tidak berasa seperti untuk meraikan hari raya. Saya harap di Taipei nanti (GP Emas Terbuka Taiwan), saya dapat mengutip mata dan cuba mara sehingga ke suku akhir," ujarnya.

Pasrah mengenangkan ahli keluarga, dia bersedia untuk terus melakukan pengorbanan seperti ini untuk terus membuktikan dia pewaris takhta Datuk Lee Chong Wei.

"Pengorbanan ini berbaloi kerana sejak saya terlibat dengan sukan badminton, hanya beberapa kali saya sempat meraikan Aidilfitri dengan keluarga," tambahnya.