Seperti Malaysia yang masih segar meraikan Hari Kemerdekaan Ke-61, begitu juga perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Dia bakal kembali ke gelanggang kompetitif selepas bebas daripada penggantungan disiplin.

Iskandar, yang terlibat dengan gejala merokok, digantung daripada menyertai kejohanan sejak kali terakhir mewakili Malaysia dalam Piala Thomas, Mei lalu.

Hukuman itu turut menyaksikan dia disisihkan daripada membuat penampilan dalam Sukan Asia 2018.

Dua saingan pada hujung bulan ini, bermula dengan Kejohanan Masters di Indonesia, akan menjadi pengukur kepada kemampuannya mengisi kekosongan selaku pemain senior dalam skuad ini.

"Sudah dua bulan saya berhenti merokok, saya berasa teruja.

"Saya berasa seperti berjaya memerdekakan diri sendiri.

"Saya harap dapat turun ke gelanggang dengan lebih yakin dan cemerlang.

"Dengan persembahan badminton negara yang kurang menyerlah ketika ini, saya akan cuba meningkatkan prestasi saya dari semasa ke semasa," katanya.

Iskandar juga secara terbuka berkongsi perancangannya untuk menamatkan zaman bujang, bermula dengan mengikat tali pertunangan pada hujung tahun ini.

Tambahan tanggungjawab pada pandangan Iskandar akan menjadi pemangkin motivasi untuknya mengembalikan kerjaya ke landasan sebenar.

"Misbun banyak memberi galakan.

"Saya di sini pun sudah lama keseorangan, jadi apabila ada tanggungjawab, saya berasa lebih disiplin dan ke arah apa yang saya dan jurulatih mahukan.

"Saya harap langkah ini menjadikan saya lebih kuat pada masa akan datang," katanya.