Pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, kekal dengan pendirian untuk keluar daripada skuad kebangsaan demi mencari peluang terbaik memburu tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Iskandar sudah 15 tahun bersama skuad kebangsaan, namun tidak mencapai potensi yang diharapkan, apatah lagi bahagian perseorangan masih mencari pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei.

Lantas, keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilihat menjadi alternatif buat pemain berusia 27 tahun itu untuk mencari peluang lain.

Begitupun, dia masih belum menghantar surat kepada BAM bagi menyatakan secara rasmi hasratnya itu dan dijangka kekal bersama skuad kebangsaan sehingga 31 Disember nanti.

"Sasaran utama saya ialah layak ke Sukan Olimpik dan mahu bermain dengan aman," kata Iskandar.

Ketiadaan Iskandar menyaksikan bahagian perseorangan negara kini mempunyai enam pemain, antaranya Lee Zii Jia serta Leong Jun Hao manakala masa depan Chong Wei juga masih belum pasti, dengan pemain berusia 36 tahun itu sedang menjalani proses pemulihan kanser hidung.

Sementara itu, Zii Jia mengakui terkejut dengan keputusan yang diambil Iskandar sambil menyifatkan pemain itu antara yang banyak membantunya ketika dia masih bergelar pemain remaja.

"Saya sangat terkejut dengan keputusan Iskandar dan mengucapkan semoga maju jaya di luar nanti," kata Zii Jia.