Tempoh tiga bulan menjelang Piala Thomas menjadi detik paling kritikal buat pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, bagi menjamin tempatnya dalam skuad ke pusingan akhir di Bangkok, Mei depan.

Selaku perseorangan ketiga, Iskandar ada diturunkan dalam tiga perlawanan sepanjang Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah yang berakhir minggu lalu.

Dengan dua kemenangan dan satu kekalahan ketika aksi pembukaan bertemu Thailand, Iskandar masih tidak berpuas hati dengan prestasinya.

Iskandar juga berasakan masih tiada lagi jaminan buat dirinya untuk beraksi di Bangkok, tambahan dengan peningkatan pemain muda lain seperti Leong Jun Hao.

"Minggu depan, saya akan menghadapi Terbuka Switzerland dan saya perlu segera melakukan persiapan.

"Buat masa ini, masih tiada lagi jaminan untuk saya beraksi dalam Piala Thomas," katanya.

Dalam masa sama, satu faktor yang menambah kegusaran buat Iskandar ialah tidak banyak kejohanan akan disertai sebelum Piala Thomas bermula 20 Mei depan.

Ini mungkin memaksanya bekerja keras dalam sesi latihan bagi memikat hati ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek.

"Selepas ini, tidak banyak kejohanan yang akan saya sertai dan persembahan ketika sesi latihan akan menjadi pengukur saya ke Bangkok," katanya lagi.