Campur tangan dan input berbeza daripada barisan kejurulatihan adalah antara faktor mengapa kemelut membabitkan masa depan beregu utama negara, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, sukar diselesaikan.

Senario ini dilihat berupaya meruntuhkan keseimbangan skuad beregu lelaki pada masa akan datang.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, tidak berselindung dalam menawarkan pandangan terhadap isu berkenaan.

James berasakan senario pemain perlu berbicara dengan pelbagai pihak, termasuk tiga jurulatih -- ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit, Jeremy Gan dan Pengarah Teknikal, Morten Frost -- hanya mengusutkan keadaan.

Ini belum mengambil kira maklum balas daripada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM yang bertanggungjawab memberi kata putus terhadap masa depan mereka.

"Soon Kit adalah ketua jurulatih bagi beregu lelaki. Tugasnya adalah untuk menentukan apakah perancangan jurulaith lain di bawahnya. Apabila terlalu ramai yang menjadi penentu, sudah tentu pemain akan menjadi keliru.

"Tambahan pula Morten Frost bertindak sebagai pengarah teknikal, sudah tentu Soon Kit perlu melaporkan kepadanya. Tugas Frost adalah menyampaikan apa yang perlu jurulatih lakukan tetapi adakah itu berlaku? Saya tidak tahu," katanya.

James juga berasakan beregu no.2 negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, sebagai calon terbaik untuk digandingkan bersama V Shem dan Wee Kiong sekiranya mereka perlu dipisahkan.

"Beregu ketiga terlalu muda, jadi jika kita melihat beregu kedua, dan jika mereka dipisahkan dan digabungkan dengan beregu pertama, mungkin keputusan lebih baik dapat dihasilkan.

"Jika V Shem dan Wee Kiong dipisahkan dan digabungkan bersama beregu kedua, mungkin komunikasi di antara mereka akan menjadi lebih baik," tambah James.