Hentikan spekulasi masa depan Chong Wei

Oleh Bernama 11 Jun 2019 805
Hentikan spekulasi masa depan Chong Wei
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung masa depan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, yang dilaporkan berhasrat menggantung raket sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau menegaskan sekarang bukan masa yang sesuai untuk membincangkan perkara berkenaan memandangkan Chong Wei sendiri masih membisu mengenai masa depannya setelah sembuh daripada kanser hidung yang dihidapinya tahun lalu.

"Kami tunggu dahulu keputusan daripada beliau dan berikan ruang yang secukupnya untuk membuat keputusan kerana beliau sudah banyak menyumbang untuk negara," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan sebelum menyambut ketibaan skuad memanah para negara dari Belanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Turut hadir menyambut skuad berkenaan adalah Timbalannya, Steven Sim Chee Keong, dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Chong Wei dijangka akan mengumumkan persaraannya minggu depan selepas 19 tahun mencurah bakti dalam sukan badminton.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen