Buat kali pertama sejak 2009, Hendrawan tidak lagi boleh berselindung di sebalik kegagalan skuad badminton perseorangan lelaki negara apabila dia kini memegang portfolio sebagai ketua jurulatih.

Hendrawan tidak memiliki pencapaian yang boleh diangkat sebagai luar biasa dalam tempoh sedekad dia bersama skuad kebangsaan.

Apa sahaja kejayaan sewaktu membimbing Datuk Lee Chong Wei dari tahun 2015 sehingga dia bersara pada Jun 2019 juga tidak boleh terlalu dibanggakan jurulatih dari Indonesia itu.

Atas dasar itu, ujian sebenar menanti Hendrawan untuk membuktikan kredibilitinya apabila dia mengambil alih tugas Datuk Misbun Sidek yang bakal memegang tanggungjawab sebagai pengarah teknikal skuad remaja negara dalam tempoh terdekat.

"Hendrawan perlu mengambil inisiatif dan tanggungjawab yang lebih besar membimbing skuad perseorangan negara.

"Kegagalan barisan pemain kini harus dipikulnya dan dia perlu berusaha untuk memastikan bukan sahaja Lee Zii Jia, malah setiap pemain untuk tampil cemerlang di pentas antarabangsa," kata bekas jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek.

Rashid turut menegaskan hanya ada satu cara untuk Misbun melahirkan juara dunia di peringkat remaja -- dengan BAM memberikan dia kepercayaan penuh dan tidak mengganggu perkembangan program sepertimana yang terpaksa dihadapi Misbun ketika membimbing skuad perseorangan lelaki.

"Hendrawan juga harus diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk beliau mengetengahkan idea kepada setiap pemain di bawah kendaliannya."



Editor: Ammar Hakim