Keinginan Datuk Lee Chong Wei untuk mempertahankan kejuaraan Seluruh England begitu tinggi sekalipun sedar bahawa tentangan besar harus dihadapi daripada lawan yang sentiasa menjadikan pemain nombor satu negara itu sebagai sasaran utama.

Chong Wei bakal turun beraksi di Birmingham, esok, dalam langkah pertama untuk mempertahankan kejuaraan dan juga cuba memenangi trofi Seluruh England buat kali kelima.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, menegaskan bahawa Chong Wei dengan usia yang semakin meningkat saban tahun berdepan pelbagai rintangan tetapi tidak sedikitpun melunturkan semangatnya.

"Dia turun untuk mempertahankan gelarannya. Setahun ke setahun, sudah tentu umurnya makin bertambah. Itu sebenarnya adalah cabaran yang besar kepadanya.

"Bagaimanapun, dia mempunyai keinginan dan ia antara perkara baik untuk membuktikan kemampuannya," katanya.

Dengan jadual begitu padat tahun ini, Hendrawan mengakui Chong Wei perlu bijak dalam membahagikan keutamaan kejohanan untuk disertai.

Jelas Hendrawan, seandainya Chong Wei gagal untuk mendakap kejuaraan Seluruh England, jaguh itu masih mempunyai beberapa kejohanan penting tahun ini.

"Tahun ini banyak kejohanan penting. Ada Sukan Komanwel, Sukan Asia, Kejohanan Dunia, Piala Thomas dan juga Seluruh England.

"Memang kami berharap dia dapat mempertahankan gelarannya (Seluruh England). Tetapi, kalau tidak, masih ada banyak lagi kejohanan lain," katanya lagi.