Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membayangkan Hendrawan sebagai individu yang bakal mengambil alih kepimpinan skuad perseorangan lelaki daripada Datuk Misbun Sidek yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal Skuad Remaja.

Peralihan portfolio membabitkan jawatan tertinggi skuad perseorangan lelaki ini dikongsi Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Ini pada waktu perlantikan Misbun sebagai pengarah teknikal skuad remaja akan diumumkan badan induk itu secara rasmi dalam masa terdekat.

Hendrawan yang sudahpun mengelola program pemain senior seperti pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia, disifatkan Choong Hann sebagai pilihan paling sesuai.

"Buat masa ini, Hendrawan adalah pilihan untuk mengendalikan skuad perseorangan negara," kata Choong Hann.

Choong Hann turut memberi jaminan usaha Misbun membentuk bakat muda berkualiti untuk skuad senior seperti Lim Chong King, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Ng Tze Yong akan diteruskan.

"Kami sedang berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti barisan pemain negara dan berusaha untuk mengetengahkan barisan muda negara ke pentas antarabangsa."


Editor: Ammar Hakim