"Tidak banyak berbicara, berat badan turun 5kg", itu yang boleh digambarkan jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, terhadap perubahan dialami jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, sewaktu kali terakhir melawatnya di Taiwan dua minggu lalu selepas disahkan menghidap kanser hidung.

Hendrawan antara yang paling awal mengetahui keadaan sebenar yang dialami oleh Chong Wei selepas dua kali melakukan pemeriksaan di Malaysia sebelum disahkan menghidap kanser hidung.

Saat paling menyedihkan Hendrawan ialah ketika melawat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu di Taiwan adalah perubahan fizikal yang dialami Chong Wei apabila mengalami penurunan berat badan sehingga 5 kilogram dan lebih banyak mendiamkan diri.

Ternyata di sebalik semangat juang Chong Wei di gelanggang badminton sebelum ini tidak dapat menutup perubahan drastik jaguh negara itu selepas terlantar di hospital.

"Chong Wei semakin kurus dan hilang 5kg berat badan. Dia hanya bercakap perkara-perkara penting sahaja," kata Hendrawan.

Hendrawan bagaimanapun tetap percaya Chong Wei mampu pulang ke tanah air sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu selepas melihat proses rawatan yang menunjukkan hasil positif.

Namun, Chong Wei tetap akan diberi masa yang secukupnya jika dia ingin kembali beraksi selepas ini.

"Buata masa ini, kami tidak mengetahui tempoh yang diperlukan oleh Chong Wei untuk sembuh dan kembali ke gelanggang."