Hasrat Norza terajui badminton Asia tidak kesampaian 

Oleh Staff Writer 25 Mei 2019 2301
Hasrat Norza terajui badminton Asia tidak kesampaian 
Hasrat Datuk Seri Norza Zakaria untuk menambah portfolio di peringkat Asia tidak kesampaian apabila tewas dalam pemilihan presiden Badminton Asia (BA) bagi penggal 2019-2023 kepada penyandangnya, Anton Subowo, dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu di Nanning, China, hari ini. 

Norza gagal meyakinkan delegasi Asia yang lain untuk memilihnya menjadi presiden bagi penggal baru apabila hanya menerima 13 undian sementara penyandang, Anton dari Indonesia, memperoleh kemenangan dengan 27 undian.

Bagaimanapun, Norza tidak kecewa dengan keputusan itu sambil sedia menawarkan nasihat dan kepakaran Malaysia untuk membangunkan badminton dalam kalangan negara-negara Asia yang masih memerlukan bimbingan demi perkembangan sukan itu.

"Saya mungkin lambat daripada segi membuat persediaan selain ramai yang belum mengenali saya.

"Itu suatu perkara positif yang akan saya ambil," katanya. 

Buat penyandangnya, ini merupakan kemenangan kedua selepas memenanginya pada 2015. 

"Norza sentiasa dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga saya dan kemenangan ini adalah disebabkan sokongan dalam kalangan ahli.

"Ini satu titik tolak yang baik buat BA," kata Anton. 

Perancangan Norza kini adalah untuk mencari pengganti yang sesuai bagi memimpin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memandangkan dia tidak akan berganjak dengan keputusan untuk mengundurkan diri tahun depan. 

Selain memegang jawatan presiden BAM, Norza, juga menerajui Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Saya dah katakan, saya akan fokus kepada MOM dan selepas Sukan Olimpik 2019. Saya akan mencari pengganti kepada jawatan saya," tambahnya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen