Hajat Zii Jia terpaksa ditangguh

Oleh Staff Writer 15 November 2019 2177
Hajat Zii Jia terpaksa ditangguh
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, terpaksa mengangguhkan aspirasi berada dalam kelompok 10 terbaik dunia apabila sah tidak beraksi dalam Kejohanan Badminton Masters Gwangju, Korea Selatan minggu depan.

Zii Jia menerima tamparan hebat dalam pemburuan mata ranking dunia apabila terpaksa menarik diri daripada Terbuka Hong Kong yang sedang berlangsung gara-gara kes keracunan makanan serius.

Meskipun sudah kembali memulakan latihan minggu ini, satu keputusan kolektif membabitkan Zii Jia dan jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan, memutuskan untuk tidak ke Gwangju minggu depan.

Ia adalah atas dasar untuk memberikan tumpuan penuh kepada persiapan Sukan SEA, sekali gus memastikan Zii Jia menamatkan musim 2019 di luar kelompok 10 terbaik dunia.

"Ini merupakan satu pengalaman buat Zii Jia dan kini tumpuan skuad negara adalah beraksi cemerlang dalam  Sukan SEA.

"Zii Jia bagaimanapun telah menampilkan peningkatan yang memuaskan dalam mutu permainannya dan saya berharap dia akan terus maju ke hadapan," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen