Pemain badminton beregu campuran negara, Shevon Jemie Lai, memberi bayangan akan mengikut jejak rakan seperjuangan, Goh Soon Huat, memikul tugas dalam acara lain bagi menampung kekosongan slot menjelang Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan.

Kemungkinan situasi itu akan berlaku kerana hanya pasangan Vivian Hoo dan Chow Mei Kuan yang disenaraikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghadapi acara beregu wanita.

Tatkala satu slot lagi diperuntukkan untuk Malaysia, kem negara berkemungkinan akan menggunakan Shevon untuk melengkapkan kuota tersebut dan mungkin akan menggandingkan sama ada pemain perseorangan, Soniia Cheah, atau pemain beregu campuran, Goh Liu Ying.

"Setakat ini, jurulatih hanya meminta saya untuk melakukan persediaan kerana mungkin akan diletakkan bagi acara beregu wanita, bergantung kepada keputusan daripada pihak pengurusan," kata Shevon.

Walaupun ia bakal menjadi penampilan pertama Shevon dan Soon Huat dalam Sukan Komanwel, pasangan itu yakin peluang mereka untuk menghadirkan pingat tetap cerah, khususnya dalam acara beregu campuran, setelah BAM menyasarkan empat emas dari Gold Coast.

"Secara individu, saya menyasarkan untuk meraih pingat. Jika tidak silap, kami berada dalam undian pilihan utama, jadi harapan menjadi lebih tinggi," ujarnya.