Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, tidak rela melihat pingat emas acara berpasukan campuran jatuh ke negara lain, terutama India, yang dilihat sebagai pencabar utama dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April depan.

Berdasarkan prestasi dalam edisi sebelum ini, Malaysia menguasai acara berpasukan campuran sejak Sukan Komanwel Manchester 2002.

Bagaimanapun, reputasi Malaysia ini bakal menghadapi cabaran daripada India berdasarkan ranking dunia negara yang kini menyaksikan India berada di tangga kelapan, mengatasi Malaysia yang menghuni tangga kesembilan.

Kekuatan pasukan India juga terjurus kepada perseorangan lelaki menerusi K. Srikanth yang berada di ranking ketiga dunia dan perseorangan wanitanya, P. V. Sindu, di tangga keempat dunia.

"Kami mengakui kekuatan India dan juga England tetapi kami bersedia dengan baik untuk menerima cabaran itu. Saya fikir ia adalah sasaran kami untuk mendapatkan emas dalam acara berpasukan campuran," kata Norza.

Norza turut menjelaskan senarai pemain sudah hampir dimuktamadkan dan dijangka tiada perubahan kecuali masih menunggu keputusan jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock, yang masih dalam dilema, sama ada mahu menghantar Goh Jin Wei ataupun Soniia Cheah mengiringi rakan sepasukan yang lain.

"Kecuali perseorangan wanita, pasukan seperti sudah dimuktamadkan. Kami harap tiada apa-apa yang berlaku dan kami harap dapat mengekalkan pasukan tersebut," katanya lagi.

Norza ditemui ketika lawatan chef-de-mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan Komanwel, Huang Ying How, di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.