Kedudukan Goh Jin Wei untuk ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 kini dalam bahaya apabila barisan kejurulatihan badminton perseorangan wanita serius mahu melakukan pertukaraan saat-saat akhir.

Pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Soniia Cheah, disifatkan memiliki peluang cerah untuk menggantikan Jin Wei tatkala Malaysia memiliki tempoh sehingga 7 Mac ini untuk melakukan perubahan kepada senarai pemain yang akan ke Gold Coast.

Difahamkan, barisan kejurulatihan sudah pun memaklumkan perancangan ini kepada mereka.

"Segalanya belum pasti, jurulatih akan melihat siapa yang lebih bagus. Keputusan akan diberitahu selepas aksi di Eropah dan kini saya hanya perlu fokus kepada latihan," kata Jin Wei.

"Sudah tentu saya mahu dipilih tetapi jika tidak, saya harus menerima keputusan jurulatih. Saya tidak mahu terlalu berharap kerana tidak mahu kecewa kemudian hari.

"Prestasi ketika sesi latihan sudah tentu menjadi faktor tetapi saya percaya ia bukan perkara terpenting," ujar Soniia.

Situasi itu bermakna hanya prestasi dalam latihan pusat sehingga mereka berlepas ke Eropah pada 3 Mac ini bakal menjadi peluang terakhir untuk memberikan keyakinan buat ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock.

Siapa sahaja yang menjadi pilihan, dua pemain itu mengakui perlu mengekalkan tumpuan untuk menghadapi saingan Terbuka Jerman dan Seluruh England.

"Walaupun kejohanan di Jerman bukan acara utama, semua pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia akan beraksi di sana," tambah Soniia.

"Saya hargai peluang yang diterima untuk beraksi di Jerman kali ini kerana sebelum ini, saya mengalami kecederaan. Untuk Seluruh England, aksi berdepan He Bingjiao dari China tentunya memberikan cabaran sukar," ujar Jin Wei.