Gold Coast 2018: Cabaran Kanada harus dipandang serius

Oleh Staff Writer 1 April 2018 4555
Gold Coast 2018: Cabaran Kanada harus dipandang serius
Pemain badminton perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, tidak menganggap laluan mudah untuknya mengharungi saingan peringkat kumpulan acara berpasukan campuran dengan hadirnya Kanada yang dilihat mampu memberikan sedikit tentangan.

Diletakkan dalam Kumpulan D, skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan mutlak berdepan Ghana, Khamis ini, dan Seychelles, esoknya.

Bagaimanapun, dalam aksi terakhir bertemu Kanada, Soniia bakal melalui cabaran sukar kerana ditemukan dengan juara perseorangan wanita Sukan Komanwel 2014, Michelle Li.

Michelle yang kini berusia 27 tahun berada di ranking ke-17 Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Secara keseluruhan, peluang agak cerah tetapi kami bakal berdepan Kanada. Pemain perseorangan wanita mereka agak kuat.

"Saya rasa skuad Malaysia tetap berpeluang untuk meraih pingat emas," katanya.

Soniia yang berlepas ke Gold Coast semalam turut menambah dia telah melupakan segala kepahitan ketika terkeluar daripada pusingan pertama Kejohanan Seluruh England, bulan lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu tidak mahu mensia-siakan kepercayaan yang diberi jurulatih sehingga sanggup mengetepikan pemain muda berbakat, Goh Jin Wei, pada saat-saat akhir.

"Itu adalah perkara lalu dan apa yang boleh dilakukan adalah terus mara ke hadapan. Saya mahu cuba tampil dengan aksi terbaik."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen