Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, perlu menerima hakikat bahawa Goh Soon Huat-Shevon Lai, lebih baik daripada mereka selepas hilang mandat untuk ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Perancangan asal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ialah mengetengahkan Kian Meng-Pei Jing untuk mengiringi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dalam temasya pada April itu nanti.

Namun, perubahan prestasi semasa di antara dua gandingan itu memaksa BAM menerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) membuat rombakan kecil pada minggu lalu.

Sebaliknya, tempat mereka akan diambil alih oleh Soon Huat-Shevon yang turut memintas kedudukan ranking dunia mereka, sekali gus secara rasminya muncul gandingan nombor satu Malaysia.

"Kami menilai berdasarkan prestasi semasa, Soon Huat-Shevon menunjukkan prestasi lebih konsisten.

"Kami juga menilai daripada segi kekuatan lawan berdasarkan kempen dalam Sukan Komanwel nanti.

"Kami juga sempat berbincang dengan Kian Meng dan Pei Jing. Setakat ini, persembahan mereka tidak begitu konsisten berbanding dua lagi calon.

"Jelas sekali kehadiran Peng Soon-Liu Ying pula amat diperlukan demi keseimbangan pasukan.

"Penilaian kami berdasarkan beregu yang lebih stabil, termasuk kemampuan pihak lawan serta peluang memburu pingat emas.

"Kami melihat kelebihan permainan dan strategi Soon Huat-Shevon lebih sesuai," kata jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang.