Jawatankuasa Peraturan Disiplin dan Intergriti, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan hukuman dengan memotong elaun bulanan Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebanyak 50 peratus kerana melakukan kesalahan merokok.

Iskandar didapati melanggar kesalahan itu ketika kempen Malaysia dalam Piala Thomas di Bangkok, Thailand, Mei lalu.

Iskandar yang dihubungi akur dengan hukuman tersebut dan berjanji akan mengambil iktibar atas kesilapannya itu.

"Saya terima hukuman dengan rela hati dan saya berterima kasih kepada pihak BAM kerana masih memberi saya peluang untuk berkhidmat untuk negara.

"Selepas masalah ini, saya akan menjadi lebih matang dan lebih meningkat di bawah kendalian BAM," katanya.