Gandingan Vivian-Khe Wei akhirnya terlerai

Oleh Staff Writer 16 November 2018 971
  Gandingan Vivian-Khe Wei akhirnya terlerai
Selepas lapan tahun bersama, gandingan beregu wanita utama negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, akhirnya berpisah demi perancangan yang lebih mantap sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Perkara itu didedahkan ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, susulan keadaan Khe Wei yang masih belum menunjukkan petanda positif gara-gara kecederaan lutut yang dialami sejak Februari lalu.

Rosman mengambil langkah drastik dengan menggabungkan Vivian dengan Yap Cheng Wen.

Percaturan itu menyaksikan mereka berhasil menawan Kejohanan Badminton Terbuka Macau, dua bulan selepas digandingkan.

Rosman bercadang untuk mengekalkan pasangan beregu itu bagi persiapan kelayakan Sukan Olimpik yang bermula Mei tahun depan di samping mempersiapkan satu lagi wakil, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yuen.

"Kami sudah memutuskan untuk mengekalkan gandingan Vivian-Cheng Wen sebelum Terbuka Macau lagi. 

"Kami tidak menyangka langkah ini memberi kesan dalam Terbuka Macau sebab masih banyak lagi proses yang perlu mereka lalui," katanya. 

Buat masa kini, Rosman tiada perancangan khusus buat Khe Wei selain mengharapkan pemain itu menjalani rawatan pemulihan supaya dapat segera kembali ke gelanggang.

"Untuk melihatnya kembali (ke gelanggang), ia masih menjadi tanda tanya. 

"Kami tidak mahu mengambil risiko terhadapnya tetapi berdasarkan senario gandingan Vivian-Cheng Wen, agak sukar untuk melihat Vivian kembali digandingkan bersama Khe Wei," tambahnya. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen