Vivian Hoo terpaksa menanti lebih lama untuk kembali bergandingan dengan Woon Khe Wei yang dibelenggu kecederaan lutut sejak Februari lalu.

Khe Wei menglami kecederaan itu semasa kempen kelayakan Piala Uber di Alor Setar, Kedah, dan pada asalnya dijadualkan pulih bulan ini.

Tetapi, dia terpaksa menjalani proses pemulihan lanjutan sebelum dibenarkan untuk kembali ke gelanggang.

Berdasarkan perancangan kejohanan, Vivian dan Khe Wei hanya akan kembali beraksi bersama pada hujung bulan depan, termasuk dalam Kejohanan Dunia.

"Saya dijangka akan kembali berpasangan dengan Khe Wei dalam Terbuka Russia, iaitu sebelum kami menyertai Kejohanan Dunia.

"Mengenai perancangan selepas itu, jurulatih belum memutuskan apa-apa lagi.

"Semuanya bergantung kepada jurulatih. Saya hanya memberi fokus kepada prestasi sendiri dan jurulatih akan membuat percaturan terbaik," ujarnya.

Dalam perkembangan yang menarik, Vivian akan beraksi dalam Terbuka Malaysia bermula 26 Jun ini bersama Song Fie Cho.

Vivian membuktikan bahawa dia memiliki kemampuan untuk membentuk keserasian dengan gandingan berbeza dalam apa jua situasi seperti memenangi emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 bersama Chow Mei Kuan.

"Ia cabaran baru kerana saya bergandingan dengan pelbagai pasangan beregu.

"Saya menganggap ia sebagai proses pembelajaran kerana saya dapat belajar melalui beberapa gandingan pemain.

"Ia perkara yang baru dan saya berharap dapat belajar sesuatu daripada setiap pasangan yang digandingkan bersama," katanya lagi.