Jurulatih dari Denmark, Morten Frost, mengambil keputusan untuk meninggalkan jawatannya selaku Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Perkara itu disahkan oleh oleh Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Ia satu kejutan besar memandangkan agenda utama mesyuarat itu adalah untuk menentukan hala tuju beregu utama negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

"Tadi, kami telah bermesyuarat dan perkara utama yang telah dibincangkan adalah kami telah menerima peletakan jawatan Morten Frost selaku Pengarah Teknikal.

"Kami menerima surat peletakan jawatan pada 11 September lalu. Kami mengucapkan selamat berjaya untuk masa depannya dan kami mengucapkan terima kasih di atas sumbangannya selama ini," kata Norza yang juga pengerusi C&T.

Morten Frost kembali ke Malaysia buat kali kedua pada 2015 susulan peranan jurulatih kebangsaan yang dimainkannya pada 1997.

Peletakan jawatan Frost itu didorong oleh faktor peribadi yang tidak didedahkan pengurusan BAM.

Bagaimanapun, BAM nampak tidak tergugat dengan perkembangan kehilangan kepakaran Frost yang sepatutnya berkhidmat sehingga 2020.

"Peletakan jawatan Frost diterima selepas berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Kami perlu menilai persembahan dalam Kejohanan Dunia dan Sukan SEA serta beberapa kejohanan terdahulu.

"Kami mahu mengenal pasti kelemahan yang dimiliki dan cuba memperbaikinya."

BAM juga tidak bercadang mencari pengganti Frost dalam tempoh terdekat, sebaliknya meletakkan kepercayaan penuh kepada ketua jurulatih setiap skuad untuk merencana program dan bertanggungjawab kepada setiap kegagalan.

"Kami akan cuba mengubah budaya kerja sebelum ini. Saya telah memberitahu kepada jurulatih-jurulatih, bahawa kemenangan menjadi keutamaan manakala kekalahan tidak boleh dilihat sebagai sambil lewa."