Berita mengecewakan hadir daripada kem badminton negara apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa Datuk Wira Lee Chong Wei mengalami kecederaan lutut.

Difahamkan, Chong Wei mengalami kecederaan sewaktu latihan pusat kelmarin, yang bakal merencatkan penyertaannya dalam kejohanan bulan depan, termasuk Seluruh England.

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost, mengesahkan jaguh perseorangan negara itu mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

"Kami tidak tahu secara terperinci mengenai tahap kecederaannya tetapi secara jujurnya ia tidak nampak begitu bagus," katanya.

Bagaimanapun, Frost menggesa agar menunggu sehingga keputusan pemeriksaan dijalankan sebelum membuat sebarang spekulasi.

"Dia terjatuh dan memberi kesan terhadap lutut dan ada kemungkinan ligamennya mengalami kecederaan sedikit.

"Kadang kala selepas pemeriksaan kecederaan tersebut mungkin tidak seteruk yang disangkakan, jadi saya menyarankan agar tidak membuat sebarang spekulasi ketika ini."