Selepas enam bulan mengharungi musim 2017, skuad beregu campuran badminton negara membuktikan mereka adalah yang terbaik berbanding empat disiplin lain.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, berkongsi rahsia kejayaan skuad itu.

Yang pertama, beregu campuran ditunjangi kombinasi jurulatih yang memiliki perwatakan serta program unik di bawah bimbingan Chin Ee Hui dan Pang Cheh Chang.

Kejayaan membentuk Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menjadi pasangan bertaraf Sukan Olimpik hanyalah permulaan.

Legasi mereka diteruskan Lai Pei Jing-Tan Kian Meng dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Frost tidak berselindung dalam menegaskan pendekatan beregu campuran wajar dijadikan panduan buat skuad lain.

"Kedua-dua jurulatih itu membuat kumpulan beregu campuran sangat rapat dan berusaha gigih sejak dua tahun lalu.

"Usaha mereka kini membuahkan hasil," katanya.

Barisan kejurulatihan skuad itu serta Peng Soon juga tidak melatah dalam menangani cabaran kehilangan khidmat Liu Ying gara-gara kecederaan sepanjang musim ini.

Malah, kemahuan Peng Soon untuk membimbing dua prospek berbakat, Peck Yen Wei dan Cheah Yee See, di pentas antarabangsa mencerminkan wibawanya sebagai atlet senior.

"Semua orang sentiasa boleh menimba pelajaran, tidak kira sesiapa pun.

"Semua orang boleh belajar dengan sikap Peng Soon, dia seorang yang hebat.

"Pendekatannya serba-serbi bagus biarpun gandingannya (Liu Ying) terpaksa berehat panjang.

"Dia menyahut cabaran dengan berpasangan dengan dua muka baru dan dia melakukannya dengan begitu mengagumkan," kata Frost lagi.