Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bertekad melaksanakan perubahan format kiraan mata meskipun mendapat tentangan ahli gabungan.

"Pada hari ini, ketika forum ahli, terdapat satu penerangan tentang sistem pemarkahan dan BWF dilihat amat serius kerana mengambil masa selama sejam untuk menerangkan format baru," ujar Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Kenny Goh.

Format yang bakal dipinda menerusi mesyuarat agung BWF esok akan menyaksikan kiraan 11 mata menerusi lima set terbaik diguna pakai selepas ini.

Sistem itu dicadang menggantikan kiraan sedia ada 21 mata menerusi tiga set terbaik yang menjadi kelaziman dunia kompetitif badminton sejak 2006.

Jika mendapat persetujuan, perubahan itu dijangka berkuatkuasa pada Disember 2018 bagi kitaran mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sebenarnya bagi saya, sukar untuk mengatakan bahawa sistem 11 mata menerusi lima set terbaik lebih baik berbanding sistem terkini kerana BWF tidak mengambil usaha untuk kajian lebih lanjut mengenai sistem ini.

"Tiada ujian acara di peringkat teratas tetapi hanya ketika cabaran antarabangsa dan ia adalah tiga tahun yang lalu," tambahnya.