Tayangan perdana sedunia filem yang memaparkan kisah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, di Stadium Nasional, Bukit Jalil bukan sahaja mencuit emosi, bahkan menerima pengiktirafan.

Seramai 22,000 peminat sukan tanah air, termasuk skuad badminton negara, menjadi sebahagian daripada sejarah unik itu, malam tadi.

Versi perdana filem 'Lee Chong Wei: Rise of The Legend' yang berdurasi 133 minit itu ditayangkan menerusi layar gergasi setinggi 40 meter, sekali gus mendapat pengiktirafan daripada Malaysia dan Asia Book of Records sebagai tayangan perdana terbesar di benua ini.

Filem arahan Teng Bee itu berupaya menggarap perjalanan hidup Chong Wei dari usia muda sehingga kejayaan mengukuhkan kedudukan sebagai yang terbaik pernah dilahirkan badminton negara menerusi kemenangan dalam Terbuka Malaysia buat kali ketiga pada edisi 2006 dengan menewaskan seteru utama, Lin Dan.

Chong Wei yang tidak pernah menonton filem berkenaan sehinggalah saat tayangan perdana itu, menganggap ia sebagai penceritaan paling hampir tentang kisah hidupnya dan berupaya menyemarakkan kemahuannya untuk terus mengerah keringat buat Malaysia.

"Cerita ini memang nampak benar. Saya tidak sangka kerana pengarah kata dulu mahu buat filem tentang badminton, kemudian dia tukar jalan ceritanya.

"Hari ini, saya telah menonton sepenuhnya. Ia mengingatkan tentang zaman kesusahan saya.

"Saya tidak sangka. Saya sangat gembira dan bangga dengan diri saya.

"Ia juga menjadi dorongan kepada rakyat Malaysia, terutama orang muda, mendorong orang ramai untuk terlibat dalam sukan.

"Umur saya sudah 36 tahun tetapi saya masih berada dalam gelanggang dan berjuang.

"Tahun ini memang sukar tetapi filem ini memberi semangat kepada saya," kata pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu.