Bekas perseorangan negara, Ong Ewe Hock, menganggap badminton Malaysia akan lebih cemerlang jika barisan bekas pemain diberi peluang memimpin persatuan sukan itu.

Ewe Hock berpendapat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) wajar dikemudi oleh bekas pemain apabila Datuk Seri Norza Zakaria memberi bayangan untuk meninggalkan kerusi presiden badan itu selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Baginya, ia merupakan satu keputusan yang tepat, apatah lagi Norza yang juga presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dapat memberi tumpuan penuh kepada badan induk itu.

Ewe Hock juga mengakui Norza telah banyak berjasa kepada sukan badminton Malaysia sejak menyandang jawatan itu pada tahun 2017.

"Bagi peluang kepada orang lain sebab dia ada pegang jawatan dalam MOM. Bagus kalau dia letak jawatan dan beri tumpuan kepada MOM. Saya harap selama dia pegang BAM dapat memberikan sesuatu," katanya.

Selain itu, Ewe Hock turut menganggap BAM perlu dirombak semula dan dikendalikan oleh bekas pemain badminton negara.

"Usah beri peluang kepada individu yang tidak tahu mengenai badminton. Saya harap seluruh unit akan diubah dan beri peluang kepada bekas pemain untuk menerajui badminton."