Eei Hui-Pei Tty inspirasi buat Meng Yean

Oleh Staff Writer 19 Jun 2019 671
Eei Hui-Pei Tty inspirasi buat Meng Yean
Pemain beregu wanita negara, Lee Meng Yean, menjadikan bekas pasangan nombor satu dunia, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty, sebagai inspirasi dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Meng Yean bersama gandingannya, Chow Mei Kuan, yang kini berada di ranking ke-13 dunia, mengakui perlu menggandakan usaha selepas berhadapan tekanan dalam mencari momentum terbaik sejak saingan Terbuka New Zealand, April lalu.

Meraih keputusan kurang memberangsangkan daripada awal kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik, Meng Yean mempunyai keyakinan mampu berada di kedudukan 10 terbaik dunia menjelang Tokyo 2020.

Keyakinan itu hadir selepas pemain berusia 25 tahun itu melihat peningkatan dalam kedudukan ranking dunia apabila mereka hanya menamatkan saingan musim lalu di tempat ke-19.

"Memang agak sedih kerana tersingkir awal dalam dua kejohanan sebelum ini. Kami akan berusaha dengan lebih baik selepas ini serta undian yang lebih baik bagi mengelak lawan yang sukar bagi memastikan kami mara lebih jauh untuk mengutip mata kelayakan Sukan Olimpik," kata Meng Yean.

Kini, pasangan itu sedang melakukan persiapan lengkap bagi menghadapi Terbuka Indonesia bulan depan dalam misi merakamkan keputusan positif.

"Kami berada dalam fasa latihan pusat bagi mengutamakan memperbaiki kelemahan, meningkatkan tahap fizikal serta persiapan taktikal menghadapi kejohanan."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen